konsep blog

Dalam blog ini ditekankan beberapa isu atau perkara yang berkaitan dengan umat Islam. Ia meliputi aspek politik, sosial, ekonomi, perundangan serta keagamaan. Antara isu yang dimuatkan ialah isu penuntut pelajar islam pada hari ini dan isu penghayatan Islam dalam kehidupan seharian mereka. Tujuan penghasilan blog ini ialah untuk menyebarkan isu-isu terkini yang berkaitan dengan apa yang berlaku terhadap umat Islam di dunia pada hari ini. Semoga dengan wujudnya blog ini dapatlah kita sama-sama berkongsi pandangan dan bertukar-tukar pendapat. Sudilah kiranya sahabat-sahabat semua memberi pendapat ataupun sedikit kata-kata yang boleh menaikkan lagi semangat saya untuk meneruskan perjuangan dalam kehidupan ini…semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang berjaya dan mendapat rahmat serta keredhaan dari Nya..insyaAllah.....wassalam

Thursday, October 1, 2009

Hidup Itu Indah.....

Hidup itu indah hanya bagi jiwa-jiwa yang dipenuhi keindahan.
Jiwa-jiwa yang dipenuhi keindahan melihat sesuatu yang buruk juga terlihat nampak indah sebab cara melihat kehidupan dipenuhi oleh rasa syukur atas anugerah yang diberikan kepadanya sehingga apa pun yang dilihatnya nampak indah.
Jika hidup tak ubahnya lautan yang luas penuh badai dan gelombang.
Berlayarlah dengan gagah berani mengarungi luasnya samudra daripada tidur nyenyak dipulau kecil yang membuat kita menua dan mati.
Sebab keindahan hidup hanya bisa dinikmati oleh mereka yang gagah berani mengarungi luasnya samudra yang dipenuhi badai dan gelombang.
Bagi mereka yang mengenal ganasnya lautan kehidupan, dia akan tahu bagaimana cara menaklukkannya kehidupan.
Kehidupan yang indah tidak akan bisa dicapai dengan cara-cara yang buruk seperti merendahkan orang lain.
Kehidupan yang indah hanya akan dicapai dengan cara-cara yang baik seperti memuliakan orang lain.
Hidup itu nampak buruk bagi mereka yang kalah, mereka yang kalah adalah mereka orang-orang yang tidak berani mengarungi luasnya samudra, memilih berdiam diri dan tidak melakukan apa pun sehingga di dalam hatinya hanyalah kebencian terhadap kegagalan dirinya menaklukan kehidupan.
Jika demikian, tidakkah lebih baik melihat hidup ini penuh keindahan?
Menyapa siapa pun yang kita jumpai dengan penuh kehangatan sebagai seorang teman..?
Sambil menyebarkan senyuman bagai setitis embun di pagi hari yang dinanti banyak orang..?Oh…alangkah indahnya hidup...
Salam Cinta,
farihan.....

Tuesday, September 8, 2009

Hidup ini hanya sepagi atau sepetang...

Percayakah kita bahawa hidup di dunia ini ibarat hanya sepagi atau sepetang sahaja. Memang sukar untuk kita mempercayainya namun jika kita renung dan berfikir sejenak sebenarnya memang ada kebenarannya.
Sebahagian usia kita dihabiskan untuk tidur iaitu kira-kira sepertiga umur (8 jam setiap hari). Setelah itu sepertiga lagi (8 jam) digunakan untuk bekerja bagi mencari nafkah di dunia. Biasanya waktu yang dapat kita nikmati ’sebebas-bebasnya’ ialah awal pagi dan lewat petang. Masa yang kita lalui juga begitu pantas berlalu. Pejam celik pejam celik kita bakal menjadi dewasa, berumahtangga, punya anak dan cucu dan akhirnya kembali ke alam yang baqa.
Firman Allah (Erti): Orang-orang Kafir bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari berbangkit (kiamat), Bilakah bakal ia terjadi?
Siapakah kamu (sehingga) dapat menyebutkan (waktunya?)
Kepada Tuhanmulah dikembalikan kesudahannya (ketentuan waktunya)
Kamu hanyalah pemberi peringatan bagi siapa yang takut kepadanya (hari berbangkit)
“Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) di waktu petang atau pagi hari”.

Surah An Naaziat Ayat 42 - 46

Salam Dari Tuhan...

Apakah perasaan kita apabila disapa oleh orang yang tinggi kedudukannya seperti Sultan dan Perdana Menteri di dunia ini..
sudah tentu terasa begitu gembira dan tidak terkata...
Inikan pula sebagai hamba..
lalu Allah Yang Maha Pencipta mengucapkan salam buat kita..serta berjanji memberikan apa saja yang diminta..
Itu semua tidak mustahil jika kita beriman, beramal dan bertaqwa lalu dimasukkan ke dalam syurga di alam akhirat sana..
Renungkanlah Firman Allah yang sering kita baca di malam Jumaat yang mulia..
Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikit pun dan kamu tidak dibalas kecuali dengan apa yang telah kamu kerjakan.
Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan mereka. Mereka dan isteri-isteri mereka berada dalam tempat yang teduh bertelekan di atas dipan-dipan.
Di syurga itu mereka memperolehi buah-buahandan memperoleh apa yang mereka minta
(Kepada mereka dikatakan) :
“Salam” sebagai ucapan selamatdari Tuhan Yang Maha Penyayang.
(Terjemahan Surah Yaa Sin : Ayat 54-58)

Tuesday, September 1, 2009

mengenal diri....

Siapa kita sebenarnya?

"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila ia baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! Iaitulah kalbu (hati)."

*diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Topik kita hari ni ialah pasal hati. Dari keterangan hadis di atas, dapatlah kita faham sedikit sebanyak bahawa hati memainkan peranan yang penting dalam hidup kita. Terutama bagi kita yang menganggap diri sebagai seorang muslim.. Kalau bond nak cerita pendek, senang cerita hati ni macam raja. Anggota badan kita yang lain ni ibarat rakyat jelata yang ikut sahaja cakap raja dan sangat patuh kepada perintah raja. Itu yang kalau hati kita kata hari ni kita pergi kelas, maka ke kelas lah kita.. Kalau hati tu kata hari ni kita ponteng dan lepak dalam bilik, maka bakal melepaklah kita dalam bilik selama mana kita berhajat dalam hati untuk ponteng..

Hati ini juga selain daripada bergelar raja, ia juga panggil "hakikat keakuan". Aku ini dan aku itu. Aku pergi ke sana, aku datang ke sini, bilik tu aku punya, pakwe tu pakwe aku, buku tu aku punya.. semuanya aku, aku, dan aku.. "Aku" itulah yang sebenarnya hakikat insan yang kerana ia ganti nama bagi ruh atau hati dan dia ni kira mcm Tok Dalang dalam wayang kulit. Badan ni ibarat patung yang digerakkan oleh ruh. Apabila ruh bercerai dari tubuh kasar nescaya tubuh badan tu jadi ibarat tunggul kayu yang menanti hancur reput.

Ruh ni datang dari alam ghaib. Semua orang tau pasal ni. Dan ruh ini lah yang akan kembali ke alam ghaib jugak. Mcm badan kitalah, asal dari tanah, bila dah "tamat tempoh", maka badan atau jasad ni dikembalikan semula kepada tanah. Sbb tu bila kita dah meninggal dunia, kita kena tanam. So, berbalik kepada cerita pasal ruh ni, ruh ini wujud sebelum alam kasar ini wujud. Ia ditumpangkan ke alam dunia tempat sementara ini kerana ada tujuan untuk menerima ujian.

Maka, adalah amat penting bagi kita untuk mengenal siapa diri kita yang sebenarnya.. Dan dari situlah kita dapat memperbaiki amalan dan gaya hidup kita. Bulan Ramadhan pn dah nak habis. Jumaat depan tamat lah ujian berpuasa untuk tahun ni... Maka, untuk hari hari yang berbaki ni, mari lah kita sama sama memperbanyakkan ibadah. Ibadah khusus dan ibadah awam. Sebab belum tentu kita akan jumpa lagi ramadhan yang akan datang.

Wassalam.

Islam memaksima keupayaan akal

Oleh DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

ISLAM adalah agama yang sentiasa menganjurkan umatnya agar memaksimakan keupayaan akal fikiran yang dikurniakan Allah. Malah al-Quran sebagai sumber wahyu utama turut menjadi faktor terpenting yang mendorong umat Islam agar sentiasa ghairah menimba ilmu dan meningkatkan penggunaan akal fikiran.

Al-Quran sarat dengan istilah-istilah yang mendorong manusia untuk meningkatkan penggunaan akal seperti perkataan-perkataan yang berteraskan kata ‘ilmu, fikir, faqih dan sebagainya. Perkataan yang mempunyai kata teras ‘ilm, misalnya telah diulang-ulang dalam pelbagai bentuk konotasi sebanyak 750 kali di dalam al-Quran.

Menurut kajian Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya The Concept of Knowledge in Islam, perkataan yang berpaksikan akal seperti ‘ilm merupakan perkataan ketiga banyaknya disebut dalam al-Quran selepas perkataan Allah (2,500 kali) dan Rabb (950 kali). Ini sekali gus menggambarkan kepentingan akal sebagai antara konsep yang paling penting dalam Islam.

Penekanan Islam terhadap penggunaan akal fikiran tidak pula bermaksud meminggirkan kepentingan wahyu Ilahi. Sebaliknya akal yang difahami dalam tradisi Islam masih terpaut teguh pada sauh wahyu hingga tidak memungkinkan wujud pertentangan antara wahyu dan akal. Kalaupun berlaku pertembungan antara rasional akal dan ketentuan wahyu, keutamaan tetap diberi kepada tuntunan wahyu Ilahi.

Generasi

Integrasi antara akal dan wahyu turut dizahirkan al-Quran dengan menggunakan istilah ulul-albab. Ulul-albab ialah generasi yang terbina di atas dasar keimanan kukuh dan keupayaan intelektual yang tinggi hingga mampu mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif sekali gus menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang praktis.

Allah turut menukilkan sifat generasi ini sebagaimana firmanNya: Mereka itu yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka sentiasa memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi. (Ali-Imran: 191). Pembentukan generasi ulul-albab yang menyepadukan unsur ketuhanan (wahyu) dan nilai-nilai akliah sebagaimana acuan al-Quran inilah yang pernah memartabatkan umat Islam sebagai pelopor tamadun manusia selama beratus-ratus tahun.

Sesungguhnya tamadun Islam membangun pesat ketika Eropah masih dibelenggui zaman kelam yang turut dikenali sebagai The Dark Age. Para cendekiawan dan ahli saintis Islam mempelopori pembangunan dan pengkajian pelbagai cabang dan disiplin ilmu sepanjang tahun 700 hingga 1500 Masihi. Ibn Sina umpamanya menulis sebanyak 220 buah karya yang salah satu darinya al-Shifa’ (mengenai perubatan) mengandungi 8 jilid, Al-Kindi mengarang sebanyak 242 buah, Ibn ‘Arabi sebanyak 284 buah, Zakaria Ar-Razi 236 buah, Abu Hasan al-‘Ashaari sebanyak 93 buah.

Para ilmuwan Islam ini bukan sekadar menulis dalam satu bidang bahkan merangkumi pelbagai bidang ilmu yang terdapat pada zaman mereka. Fakhruddin al-Razi yang terkenal sebagai salah seorang ahli tafsir terkemuka turut menghasilkan 149 tajuk yang meliputi bidang metafizik, teologi, falsafah, fekah, sejarah, firasat, sihir dan nujum hatta mengenai minuman (al-‘Ashribah). Begitu juga Al-Jahiz yang terkenal sebagai ahli teologi aliran Muktazilah juga menulis dalam pelbagai bidang lain seperti Kitab al-Hayawan (buku mengenai binatang) yang masih menjadi rujukan di universiti-universiti di Barat dalam bidang zoologi.

Pembinaan Bayt al-Hikmah sebagai instituti penyelidikan dan penterjemahan terulung sekitar tahun 830 Masihi oleh Khalifah al-Makmun cukup menggambarkan komitmen tinggi kerajaan Islam yang turut berperanan merangsang pembangunan intelektual umat Islam. Hasil karya dan pengkajian sarjana-sarjana Islam ini jugalah yang mempengaruhi gerakan pencerahan atau dikenali sebagai Renaissance iaitu gerakan pembebasan daripada kongkongan pemikiran yang dilakukan oleh pihak gereja hingga menyebabkan rata-rata masyarakat Eropah berjiwa kerdil bagaikan tiada maruah.

Kebanyakan bahan-bahan penulisan cendekiawan Islam seperti ensiklopedia perubatan Ibn Sina dan Ar-Razi diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Eropah lain serta dijadikan buku-buku rujukan utama di universiti-universiti di Eropah sehingga tahun 1600. Malah ribuan pelajar-pelajar dari Eropah membanjiri universiti-universiti utama yang dibina oleh kerajaan Islam seperti di Baghdad, Sepanyol, Syria, Mesir dan Iran.

Gambaran di atas menunjukkan betapa hebatnya tradisi pengupayaan akal dalam Islam yang sentiasa berpaksikan kepada tauhid atau keesaan kepada Allah. Justeru, tanggapan kononnya Islam merupakan agama yang terlalu mengongkong pemikiran umat dengan isu-isu sekitar halal dan haram hanyalah manifestasi kejahilan mengenai hakikat Islam.

Sebaliknya Islamlah satu-satunya agama yang sentiasa menganjurkan umatnya memaksimakan keupayaan akal fikiran berteraskan tuntunan wahyu Yang Maha Esa. Sebab itulah Islam tidak pernah memisahkan elemen ketuhanan dengan kehidupan sebagaimana yang difahami dalam ideologi sekular yang cuba diketengahkan kepada masyarakat kita.

Kawal marah sifat terpuji

Dalam kehidupan seharian, pasti kita berhadapan dengan perkara-perkara yang membangkitkan kemarahan. Kita juga sering menghubung-kaitkan marah ini sebagai satu perkara yang negatif.

Ternyata Islam juga mencela sikap marah sebagaimana firman Allah: (Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) – perasaan sombong angkuh secara Jahiliah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada kalimah takwa, sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan kalimah takwa itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Fath: 26)

Lihatlah bagaimana Allah s.w.t. mencela keangkuhan golongan kafirun terhadap golongan yang beriman yang mana ia timbul akibat kemarahan mereka terhadap ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yang telah menyerang institusi keagamaan, masyarakat dan sosial mereka.

Kebaculan

Sementara itu, Allah juga memuji sifat tenang dan tenteram yang telah dikurniakan kepada golongan mukminin. Ternyata menerusi ayat ini sifat marah dinilai secara negatif. Namun begitu adakah Islam ingin membasmi sifat marah secara total?

Sebelum itu mari kita lihat jenis-jenis manusia berkaitan dengan sifat marah :

  • Golongan Pertama: Tafrith

Iaitu mereka yang langsung tidak memiliki sifat marah. Apa jua yang berlaku disekelilingnya maka dia langsung tidak menunjukkan perasaan marah. Manusia jenis ini sama sekali tidak memiliki sikap pembelaan terhadap kebenaran. Dia tidak terasa tersinggung apabila agamanya diinjak-injak oleh musuh-musuh Islam. Sedangkan Rasulullah s.a.w. yang terkenal dengan sikap tawaduk tetap mempertahankan maruah agama dengan menentang musuh-musuhnya sekiranya perlu.

Firman Allah: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). (al-Fath: 29)

Golongan jenis ini juga apabila terjadi perlanggaran terhadap kehormatan diri mahupun ahli keluarganya maka dia akan menghadapinya dengan sikap yang penuh kebaculan dan terlalu merendah diri. Sedangkan Islam melihat perlunya sikap cemburu demi untuk melindungi kehormatan ahli keluarganya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya dia (Sa’ad) adalah seorang yang kuat cemburunya dan saya adalah lebih kuat cemburunya (berbanding dengan Sa’ad), dan Allah adalah lebih cemburu lagi daripada saya (iaitu sekiranya Dia melihat hamba-Nya melakukan perbuatan maksiat). (Riwayat Muslim)

Jelas di sini sifat tafrith atau langsung kehilangan sifat marah adalah tercela di sisi syarak.

  • Golongan kedua: Ifrath

Iaitu mereka yang tidak dapat mengawal perasaan marah lalu bersikap berlebih-lebihan sehingga hilang pengawalan akal yang waras terhadap dirinya.

Golongan seperti ini akan berteriak dengan suara yang kuat serta mengeluarkan kata-kata kasar lagi kesat. Ada kalanya sehingga menyebabkan terjadinya pukul-memukul ataupun amukan yang dahsyat sehingga terjadi pertumpahan darah.

Marah yang tidak dapat dikawal juga dapat membentuk perasaan dendam, benci dan dengki sehingga mendorongnya untuk melakukan pembalasan terhadap orang yang dimarahinya.

Disebabkan buruknya akibat sifat marah yang melulu ini maka Rasulullah s.a.w. amat menitikberatkan agar perasaan itu dikawal dengan baik. Apabila seorang sahabat meminta nasihat daripada Baginda s.a.w, lantas Baginda bersabda: Jangan marah. Kemudian sahabat tersebut mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi baginda menjawab: Jangan marah. (Sahih al-Bukhari, hadis no: 6116).

Allah juga memuji mereka yang dapat mengawal perasaan marah melalui firman-Nya dalam surah Ali-Imran: 133-134)

Di antara cara mengawal perasaan marah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. adalah :

  1. Mengucapkan Ta’awudz (A’udzu billahi minasy syaithoonir rajeem – Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk). Ini adalah kerana perasaan marah itu timbul dari hasutan syaitan.
  2. Diam atau tidak berbicara.
  3. Jika semasa timbul perasaan marah itu seseorang itu sedang berdiri maka hendaklah dia duduk. Jika tidak reda juga maka hendaklah dia baring.
  4. Berwuduk kerana air wuduk itu dapat menenangkan jiwa yang sedang marah
  • Golongan ketiga: I’tidal

Iaitu golongan yang bersikap sederhana di antara tafrith dan ifrath. Mereka tidak menghilangkan sikap marah secara total tetapi hanya akan marah dalam situasi yang bersesuaian. Akal juga masih menguasai dirinya dan mereka sentiasa mengikuti batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Kehormatan

Kemarahan yang tergolong dalam kategori terpuji adalah kemarahan yang timbul hanya kerana menurut perintah Allah dan untuk membela agama Islam serta umatnya.

Oleh itu hendaklah kemarahan yang ada dalam jiwa seorang muslim itu bertindak untuk menolak gangguan orang lain terhadap kehormatan dirinya, keluarganya serta umat Islam keseluruhannya dan menghukum mereka yang ingkar kepada perintah Allah.

Firman Allah: Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Dia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman. Dan Dia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu, dan Allah akan menerima taubat orang-orang yang dikehendaki-Nya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (al-Taubah: 14-15)

Di antara sifat Rasulullah s.a.w. ialah Baginda tidak menunjukkan kemarahan dan melakukan pembalasan hanya kerana kepentingan peribadinya. Segala kemarahannya adalah kerana mempertahankan hukum-hukum Allah.

Saidatina Aisyah r.a. telah meriwayatkan bahawa: Dan tidaklah baginda membalas dengan hukuman untuk (membela) dirinya di dalam sesuatu sama sekali kecuali jika perkara-perkara yang diharamkan Allah dilanggar, maka baginda akan membalas dengan hukuman terhadap perkara itu kerana Allah. (Riwayat Bukhari)

Apakah yang dapat kita simpulkan tentang sifat marah ini? Sekiranya sifat marah itu hilang sama sekali dalam jiwa seseorang maka ia termasuk dalam perbuatan yang tercela dan menunjukkan ciri-ciri seorang insan yang lemah pegangan agamanya, penakut, lemah imannya dan kurang cintanya terhadap agama Allah.

Begitu juga sifat marah yang berlebih-lebihan tanpa batasan ia juga mengundang bahaya serta boleh menimbulkan suasana yang kacau-bilau. Oleh itu, sekalipun sifat marah itu perlu ada pada diri seseorang tetapi ia sentiasa diarahkan kepada perkara yang kena pada tempatnya. Dikawal oleh akal yang bijaksana dan batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Inilah sikap pertengahan yang adil lagi terpuji malah ia merupakan ciri-ciri umat Nabi Muhammad s.a.w. iaitu umat yang bersikap penuh kesederhanaan dalam semua perkara. Firman Allah: Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil (pertengahan), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (al-Baqarah: 143)

Oleh itu sewajarnya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengamal sifat marah yang i’tidal ini.

oleh -MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS ialah Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perusahaan, Affin Bank Berhad. Boleh boleh dihubungi melalui e-mel akob73@yahoo.com

Sifat belas kasihan bukti kesempurnaan iman

MASYARAKAT Malaysia terkenal di serata dunia dengan budaya hidup serta budi pekertinya yang lemah lembut dan bersopan santun. Keadaan itu menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghiaskan diri mereka dengan sifat terpuji.

Sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan pelbagai kes penderaan dan penganiayaan di kalangan masyarakat Malaysia bermula kes penderaan anak, penganiayaan isteri atau suami dan penderaan terhadap pembantu rumah.

Rentetan peristiwa demi peristiwa menyedihkan ini sudah cukup menggambarkan betapa masyarakat Malaysia kini semakin kepupusan sifat kemanusiaan dalam sudut hati mereka. Bagi umat Islam, perbuatan penderaan dan penganiayaan dilarang keras kerana Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat iaitu belas kasihan.

Islam sebenarnya membawa misi keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam membabitkan semua makhluk yang menghuni alam ini termasuk binatang. Ini ditegaskan dalam firman Allah bermaksud: “Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat.” (Surah al-Anbia, ayat 107)

Justeru, bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana. Islam memerintahkan umatnya supaya menghiaskan diri mereka dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kepada kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan itu maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Hadis riwayat Tabarani)

Adalah menjadi kewajipan setiap Muslim bersifat belas kasihan dalam pergaulan seharian bersama sesiapa saja yang berada di sekelilingnya. Sifat semula jadi itu menjadikan manusia mudah berasa belas kasihan dan tersentuh apabila melihat kesusahan menimpa saudaranya dan begitu juga sebaliknya.

Jika perasaan seumpama itu tidak wujud dalam diri manusia, maka ia menurunkan taraf manusia lebih teruk daripada binatang, sedangkan binatang masih lagi memiliki perasaan belas kasihan terhadap anaknya sendiri.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan sesama sendiri antara satu sama lain hinggakan ada seekor binatang yang mengangkatkan kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sebenarnya sifat rahmat merangkumi semua lapisan masyarakat terdiri daripada suami isteri, ibu bapa dan anak, majikan dan pekerja, sesama ahli masyarakat Islam dan antara pemimpin dengan rakyatnya kerana Islam adalah agama untuk semua tanpa mengira kedudukan dan taraf seseorang.

Dalam konteks kekeluargaan, suami isteri perlu bertolak ansur dan berbelas kasihan antara satu sama lain dalam menguruskan dan melancarkan perjalanan rumah tangga mereka. Ia selaras objektif perkahwinan dalam Islam iaitu untuk menyuburkan bibit kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri bagi mengecapi kebahagiaan sejati.

Allah berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)

Demikianlah Islam menggariskan panduan hidup untuk diteladani umat Islam supaya kerukunan dan keharmonian rumah tangga dapat diciptakan. Walaupun ada ketikanya rumah tangga bergolak, Islam menyediakan panduan penyelesaian bagi membebaskan diri daripada masalah itu.

Contohnya, jika isteri nusyuz iaitu tidak taat atau ingkar arahan suami dalam hal kebajikan dan makruf, Islam menetapkan tiga langkah suami mengatasi masalah itu iaitu pertama nasihat, kedua berpaling tempat tidur dan yang akhirnya, memukul dengan belas kasihan .

Islam tidak pernah memberikan hak atau kebebasan kepada suami memukul dengan kekerasan hingga mencederakannya atau mendera dengan pelbagai bentuk penganiayaan. Sebaliknya Islam menyarankan suami menggunakan pendekatan berhemah dan berlemah lembut.

Ibu bapa yang mempunyai anak memikul tanggungjawab berat dalam pendidikan anak mereka. Ibu bapa perlu mempunyai sifat kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, hendaklah tegur dan betulkan kesalahannya dengan lemah lembut dan kasih sayang, bukannya memukul dengan kekerasan.

Dalam keadaan tertentu, anak boleh dipukul, tetapi biarlah dengan penuh kasih sayang dan tujuan untuk mengajar ke arah kebaikan. Rasulullah bersabda maksudnya: “Perintahkanlah anak kamu menunaikan solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (dengan lemah lembut dan kasih sayang untuk tujuan mengajar) apabila mereka berumur sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh dengan penuh kasih sayang dan lemah lembut, bukannya dengan kekerasan yang hanya akan menyebabkan anak semakin liar dan nakal. Perlu diingat gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas dan kemesraan dalam rumah mereka.

Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai semula kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam.

Islam menganggap semua manusia sama saja daripada segi taraf dan kedudukannya. Oleh itu, majikan sebagai ketua perlu bertolak ansur dan belas kasihan terhadap orang bawahannya yang terdiri daripada pelbagai peringkat sama ada pekerja, pelayan atau pembantu rumah.

Seorang ketua hendaklah bertimbang rasa apabila menyuruh orang bawahannya melakukan kerja dan memaafkan mereka terhadap apa juga kesilapan kecil dilakukan. Mereka juga mempunyai hak yang wajib ditunai dan mempunyai kelemahannya tersendiri.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Setiap hamba memiliki hak makanan dan pakaian serta janganlah dibebankan dengan amalan yang tidak mampu dilakukannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW itu, setiap pekerja perlu dilindungi dan diberi hak sama rata seperti manusia lainnya. Islam melarang keras terhadap sebarang bentuk penganiayaan dan penderaan dilakukan kepada pekerja.

Islam dari awal lagi diutuskan untuk menghapuskan sebarang bentuk kezaliman dan penganiayaan kepada golongan bawahan apabila mengharamkan perhambaan dan melarang keras kezaliman terhadap mereka. Sesiapa melakukan penderaan terhadap mereka, sesungguhnya dia melakukan amalan jahiliah terkutuk.

Bagi mewujudkan sebuah masyarakat harmonis dan bersatu padu, Islam menganjurkan umatnya supaya berbelas kasihan terhadap golongan fakir miskin dan yang tidak terdaya.

Demikianlah Islam sebagai agama bersifat rahmat kepada sekalian alam. Semua lapisan masyarakat perlu menghiaskan diri dengan sifat rahmat dan bertimbang rasa dalam mewujudkan masyarakat bersatu padu dan negara aman sejahtera.